Bismillahirrahmaanirrahiim.
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarkatuh.
Sahabat saudaraku Fillah yang dikasihi,
Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
"Sesiapa yang mencari dunia untuk berbangga-banga ke atas orang lain,
untuk menjadi kaya atau untuk mendapat nama, walaupun dengan cara yang
halal, dia akan bertemu Allah SWT dalam keadaan Allah SWT akan sangat
murka terhadapnya. Dan sesiapa yang mencari dunia dengan cara yang halal
bertujuan supaya dia tidak perlu meminta-minta kepada orang lain, untuk
mencari rezeki kepada ahli keluarga dan supaya dia mampu melakukan
kebajikan kepada jiran tetangga; maka pada hari kiamat dia akan bertemu
Allah SWT dalam keadaan wajahnya bercahaya seperti bulan purnama."
(Hadis Riwayat Baihaqi)
Huraian hadith :
Berdasarkan
hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa bekerja dan berusaha untuk
mencari kekayaan dunia tidak di larang selagi tujuan kekayaan yang
diperolehi bukan dengan tujuan bermegah-megah dan berbangga untuk
mendapat nama dan pujian. Sifat bermegah-megah ini adalah sifat mazmumah
yang dibenci oleh Allah SWT.
Dalam al-Quran Allah SWT melarang
sifat suka bermegah-megah sebagimana firman-Nya yang bermaksud :
"Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah
tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah (seperti lagakmu
itu). " (Surah al-Qasas ayat 76)
Rasulullah SAW bersabda
maksudnya : "Tiada akan masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya
seberat biji sawi daripada sifat takbur" (Hadis Riwayat Muslim).
Dalam hadis yang lain, dari Amr bin ‘Auf r.a meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW telah bersabda: "Demi Allah! Bukanlah kemiskinan itu yang
aku khuatirkan terhadap kamu, tetapi yang aku khuatirkan kepada kamu
ialah dunia dilapangkan kepada kamu, sepertimana ia telah dilapangkan
kepada orang-orang sebelum kamu, kemudian kamu akan berlumba-lumba untuk
mendapatkannya sepertimana orang-orang sebelum kamu berlumba-lumba
untuk mendapatkannya. Lalu dunia akan melalaikan kamu sepertimana ia
telah melalaikan mereka. (Hadis Riwayat Bukhari)
Nafsu manusia
tidak akan cukup dengan harta yang berlimpah ruah yang dikurniakan oleh
Allah SWT kerana tidak ada sifat bersyukur dan qanaah.
Dari
Abdullah bin Zubair r.huma berkata: "Wahai manusia! Sesungguhnya Nabi
SAW pernah bersabda: Kalaulah anak Adam ini diberi satu lembah daripada
emas, nescaya dia berkeinginan untuk mendapatkan lembah yang kedua. Dan
sekiranya diberi lembah kedua nescaya dia berkeinginan untuk mendapatkan
lembah yang ketiga. Dan sentiasa tidak akan merasa cukup perut anak
Adam ini kecuali dipenuhi dengan tanah (iaitu setelah mati). Namun satu
rahmat Allah terhadap hambaNya, dari mencintai harta dunia kepada
mencintai Allah (Dengannya didunia ini Allah memberi ketenangan dan
memelihara dari sifat tamak dan rakus dari mengumpul harta). (Hadis
Riwayat Bukhari)
Sekiranya mencari harta dunia dengan cara yang
halal (tidak ambil riba, rasuah dan tidak menipu manusia ) bertujuan
supaya kalian tidak perlu meminta-minta kepada orang lain, untuk memberi
nafkah kepada ahli keluarga dan supaya kita mampu melakukan kebajikan
kepada jiran tetangga dan saudara seagama maka pada hari kiamat kalian
akan bertemu Allah SWT dalam keadaan wajah yang bercahaya seperti bulan
purnama dan akan diberikan balasan syurga. Ini adalah jaminan daripada
Allah SWT.
Bekerja mencari nafkah yang halal adalah dikira
sebagai ibadah dan sedang berjihad dijalan Allah SWT, sebagimana hadis
dari Nabi SAW .
Daripada Sa'ad bin Abi Waqas r.a bahawa
Rasulullah SAW bersabda kepadanya : "Sesungguhnya engkau tidak
membelanjakan satu nafkah sama sekali untuk mencari keredaan Allah
melainkan engkau diberi pahala atasnya sehinggakan apa yang engkau
masukkan dalam mulut isteri mu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tidaklah ada
makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari
hasil usaha tangannya sendiri". (Hadis Riwayat Bukhari)
Sahabat yang dimuliakan,
Islam tidak menghalang umatnya mengumpulkan sebanyak mana harta
kekayaan dunia ini selagimana harta yang diperolehi dengan cara yang
halal dan niat di hati semata-mata mencari keredaan Allah SWT bukan
untuk tujuan duniawi iaitu berbangga diri dan menunjuk-nunjuk akan
kelebihan diri. Segala kekayaan dan kemewahan yang diperolehi walaupun
hasil usaha diri sendiri tetapi semuanya adalah dengan izin Allah SWT
dan bantuan orang lain juga.
Setiap harta yang diperolehi
adalah amanah Allah SWT, di dalamnya terdapat beberapa hak-hak orang
lain yang perlu ditunaikan. Harta tersebut perlu dibersihkan dengan
membayar zakat jika sampai nisab dan masanya. Harta tersebut perlu
diinfakkan pula dijalan Allah SWT (untuk kerja-kerja dakwah dan tarbiah
dan pembinaan masjid, sekolah agama, maahad tahfiz dan sebagainya) dan
di sedekahkan kepada fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal yang dhaif
yang memerlukan bantuan.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah
kita sama-sama kita jaga hati kita supaya sentiasa bersih daripada riak,
sombong, takabur dan melakukan apa sahaja pekerjaan bukan untuk
kemegahan tetapi di buat semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Jika
kita tidak berhati-hati di khuatiri syaitan akan merosakkan amal kita
dengan mengharapkan pujian manusia dan bermegah-megahan.
Amal
dan pekerjaan yang dilakukan kerana manusia atau untuk nama tidak akan
di terima oleh Allah SWT kerana amal tersebut akan menjadi debu-debu
yang berterbangan. Amal yang ikhlas adalah amal yang tidak mengharapkan
pujian manusia jika boleh dilakukan tanpa dilihat oleh manusia kerana
Dia sahaja bersifat Maha Melihat dan Maha Mengetahui.
Selamat merenungi...semoga bermanfaat.
Wassalam.